Wednesday, October 21, 2015

CETERPEN 1 - RIMBUN KASIH YANG HILANG


Mengimbau kembali kenangan semasa remajaku, terasa ada sesuatu yang masih mengusik jiwa dan perasaan itu masih kekal tersemat di lubuk hati ini, walaupun peristiwa itu sudah terkubur lama dari ingatan. Rentetan peristiwa itu bermula sejak aku di bangku perrsekolahan menengah lagi. Aku mempunyai ramai kenalan baik lelaki ataupun perempuan. Boleh dikatakan aku cukup terkenal dikalangan rakan sekolah kerana aksiku dalam bidang sukan di sekolah cukup menyerlah terutama dalam bidang olahraga dan sukan lasak seperti permainan ragbi dan bolasepak. Kebolehan aku bersukan sudahpun menyerlah ketika aku di bangku sekolah rendah lagi, di mana aku sering mewakili pasukan sekolah dalam kejohanan peringkat sekolah, daerah dan negeri. Selain daripada itu aku juga adalah dikalangan pelajar yang juga cukup cemerlang dan membanggakan para guru di sekolah dalam akademik tempat aku belajar, jadi tidak hairanlah aku cukup terkenal dan popular dikalangan guru dan rakan sekolahku.

Semasa aku berada di tingkatan lima, aku berkenalan dengan seorang rakan perempuan yang baru bertukar dari sekolah lain kerana mengikuti bapanya, seorang guru yang bertugas di sekolah tempat aku belajar. Nora namanya yang juga rakan sekelas dengan aku. Pergaulanku dengan semua rakan sekolahku adalah aku anggap biasa sahaja terutama rakan perempuan. Walaubagaimana pun persahabatan ku dengan Nora agak intim tetapi hubungan kami biasa dan sering berbincang tentang pelajaran kerana kami akan menghadapi peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) tidak berapa lama lagi.

Akhirnya rimbun kasih antara aku dan Nora berputik dan mekar berkuntum. Pergaulan aku dan Nora seperti mendapat restu dari keluarga Nora. Bapanya adalah seorang guru sains tulin dan aku sering berbual dengannya memandangkan aku adalah seorang pelajar pintar dalam bidang tersebut. Dia sering menasihati aku agar belajar bersungguh- sungguh kerana katanya aku mampu menjadi seorang doktor atau pakar biologi dan kimia.

Setelah tamat tingkatan lima dan aku mendapat keputusan cemerlang dalam MCE, aku terus menyambung pelajaranku dalam tingkatan enam. Hubunganku dengan Nora masih seperti dulu, tetapi nasib Nora tidak sama sepertiku kerana keputusan MCE yang diperolehinya agak mengecewakan dan terpaksa mengulang peperiksaan MCE.Hubungan antara aku dan Nora terputus apabila bapanya bertukar ke utara semenanjung Malaysia, seingatan aku di daerah Baling Kedah. Selepas menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan, aku ditawarkan pekerjaan sebagai guru di sebuah sekolah menengah di selatan semenanjung.Cita-citaku yang ingin menjadi seorang doktor akhirnya berkubur. Selang beberapa tahun aku mengajar di sana, aku ditukarkan pula ke negeri Hang Tuah, di sebuah daerah yang agak terpencil tetapi maju dari segi pembangunan. Setelah enam bulan aku mengajar di sekolah tersebut, pada suatu hari aku dikejutkan dengan sapaan seorang guru wanita berbaju kurung dengan panggilan manjaku semasa bersekolah di tingkatan lima. Guru wanita itu ialah Cikgu Nora, rakan sekelasku yang kini juga seorang guru. Satu pertemuan yang tidak kuduga selama ini. Berdetik kalbuku seperti ada tangan yang menjentiknya

Selepas waktu sekolah aku mengajak Cikgu Nora makan tengahari di sebuah restoran berdekatan dengan sekolah. Kami berbual panjang dan menceritakan pengalaman masing-masing. Ketika itu aku berstatus masih bujang tetapi Cikgu Nora sudah berstatus ibu tunggal. Dia berkahwin atas pilihan orang tua selepas sahaja menamatkan pengajian di sebuah makhtab perguruan di Negeri Perak. Selepas setahun suami beliau meninggal dunia kerana terlibat dengan kemalangan jalanraya. Perkongsian hidup mereka tidak dikurniakan zuriat. Aku bertanya kepadanya di manakah bapa sekarang. Dengan wajah yang agak sedih, dia menyatakan bapanya telah meninggal dunia kira-kira dua tahun yang lalu. Aku tunduk diam dan hanya mampu menghadiahkan Alfatihah.

Selang beberapa bulan Cikgu Nora mengajar bersamaku di sekolah yang sama, aku sering keluar bersama Cikgu Nora dan aku dapat merasakan rimbun kasih aku dan Cikgu Nora yang hilang satu ketika dahulu telah rendang kembali dan akhirnya kami disatukan di atas jinjang pelamin dan kini mempunyai keluarga bahagia. Jodoh, pertemuan dan takdir adalah dalam rahmat dan takdir ketentuan-Nya Kita hanya mampu meminjam catatan-Nya yang dipinjamkan sementara, kita hanya perlu bersyukur dengan ketentuan-Nya.

Baharudin Noryat
Putrajaya
191702 Dis 2013

Friday, October 16, 2015

PERINGATAN KEPADA YANG LUPA - KAMU

Kamu mengenal Allah
Kamu tidak menunaikan hak-hakNya
Kamu mengaku bahawa kamu cinta kepada Rasulullah
Kamu tinggalkan sunnahnya
Kamu persendakan agama bawaannya
Kamu membaca Al-Quran
Kamu tidak beramal dengannya
Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah
Kamu tidak bersyukur dengannya
Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh agamamu
Kamu tidak berusaha menentangnya
Kamu juga bersahabat dengannya
Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar
Kamu tidak beramal untuknya.
Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar
Kamu tidak cuba menjauhinya
Kamu telah berkata bahawa mati itu benar
Kamu tidak menyiapkan bekalan untuknya
Kamu bangun dari tidur berceritakan keaiban manusia
Kamu lupa keaiban kamu sendiri
Kamu mengubur mayat-mayat saudara-saudara kamu
Kamu tidak jadikan pelajaran untuk bertakwa
Satu ketika masa takdirnya tiba
Akan sampai giliran kita
Kitarannya tetap sama

Baharudin Noryat
Putrajaya