Saturday, January 6, 2018


KEWUJUDAN FEDERATION ENGINEERS (RAJD)

Rancangan untuk mewujudkan Federation Engineers telah mula dirancang oleh Tentera Darat British selepas perang dunia kedua apabila Jepun menyerah kalah di Malaya. Pembentukan ini dibuat adalah bertujuan

Memberikan peluang dan pendedahan kepada anak watan Malaya di dalam kerja-kerja kejuruteraan awam dan tentera agar dapat melaksanakan dan membantu kerajaan pembangunan negara, selepas Malaya diberikan kemerdekaan.

Tentera Darat British ingin mengurangkan beban perbelanjaan yang begitu tinggi untuk memindah alih Tentera Jurutera British ke Malaya, memandang kerajaan British mengalami defisit dalam ekonomi selepas tamat perang dunia kedua.

Rancangan tersebut mula direalisasi secara beransur dengan apabila Work Squadron RE yang berpangkalan di Batu Kentonmen dibubarkan bagi menubuhkan Malayan Engineer Squadron pada 1 Oktober 1950 yang kemudiannya berpindah ke Kem Sungai Besi. Unit ini kemudiannya dibubarkan pada 30 September 1952, bagi menubuhkan Malayan Field Squadron pada 1 Otober 1952 yang membentuk 2 buah Skuadron iaitu 75 Malayan Field Squadron dan 78 Malayan Field Park Squadron yang berpangkalan di Kem Garison Kluang Johor yang diletakkan di bawah perintah 50 Field Engineer Regiment.

Pada 22 April 1953, Tentera Darat British telah menubuhkan Federation Engineers atau Jurutera Persekutuan di Balaclava Lines Kluang Garison Johor. Tarikh ini adalah merupakan titik permulaan kewujudan Rejiman Askar Jurutera DiRaja atau singkatannya RAJD. Semasa hari penubuhan Federation Engineers ini pengambilan rekrut pertama seramai 37 orang diambil di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson. Nombor tentera anggota rekrut ini bermula daripada 300001 hingga 300037. Seminggu selepas mendaftar di sana mereka dipindahkan ke Malayan Basic Training Centre di Nee Soon Singapura, untuk memulakan latihan ketenteraan. Beberapa orang jurulatih Askar Melayu yang terpilih turut ke sana bagi melatih rekrut ini. Setelah tamat kursus di MBTC Nee Soon, pada bulan Ogos 1953 mereka dihantar pula ke Engineer Training Centre di Kluang untuk menjalani latihan asas Jurutera Tempur B3. Sejumlah 5 pengambilan rekrut dibuat untuk Federation Engineers. Pengambilan kedua hingga kelima dilaksanakan di Port Dickson.

Semasa mereka menjalani latihan ketenteraan, dalam bulan Mac 1954, Maj I.G. Wellsted RE, memulakan pembentukan bagi memenuhi kekuatan anggota 76 Federal Field Squadron, sebuah unit Federation Engineers, yang telah ditubuhkan pada 1 Jan 1954. Beliau kemudian dilantik menjadi Pegawai Pemerintah pertama skkuadron ini. Pada 1 September 1954 bermula penyerapan anggota RE ke dalam Federation Engineers yang dimulakan dengan seramai 16 orang SNCO yang diketuai oleh WO II Yusak bin Hj Omar yang dilantik sebagai SSM yang pertama.















Wednesday, October 21, 2015

CETERPEN 1 - RIMBUN KASIH YANG HILANG


Mengimbau kembali kenangan semasa remajaku, terasa ada sesuatu yang masih mengusik jiwa dan perasaan itu masih kekal tersemat di lubuk hati ini, walaupun peristiwa itu sudah terkubur lama dari ingatan. Rentetan peristiwa itu bermula sejak aku di bangku perrsekolahan menengah lagi. Aku mempunyai ramai kenalan baik lelaki ataupun perempuan. Boleh dikatakan aku cukup terkenal dikalangan rakan sekolah kerana aksiku dalam bidang sukan di sekolah cukup menyerlah terutama dalam bidang olahraga dan sukan lasak seperti permainan ragbi dan bolasepak. Kebolehan aku bersukan sudahpun menyerlah ketika aku di bangku sekolah rendah lagi, di mana aku sering mewakili pasukan sekolah dalam kejohanan peringkat sekolah, daerah dan negeri. Selain daripada itu aku juga adalah dikalangan pelajar yang juga cukup cemerlang dan membanggakan para guru di sekolah dalam akademik tempat aku belajar, jadi tidak hairanlah aku cukup terkenal dan popular dikalangan guru dan rakan sekolahku.

Semasa aku berada di tingkatan lima, aku berkenalan dengan seorang rakan perempuan yang baru bertukar dari sekolah lain kerana mengikuti bapanya, seorang guru yang bertugas di sekolah tempat aku belajar. Nora namanya yang juga rakan sekelas dengan aku. Pergaulanku dengan semua rakan sekolahku adalah aku anggap biasa sahaja terutama rakan perempuan. Walaubagaimana pun persahabatan ku dengan Nora agak intim tetapi hubungan kami biasa dan sering berbincang tentang pelajaran kerana kami akan menghadapi peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) tidak berapa lama lagi.

Akhirnya rimbun kasih antara aku dan Nora berputik dan mekar berkuntum. Pergaulan aku dan Nora seperti mendapat restu dari keluarga Nora. Bapanya adalah seorang guru sains tulin dan aku sering berbual dengannya memandangkan aku adalah seorang pelajar pintar dalam bidang tersebut. Dia sering menasihati aku agar belajar bersungguh- sungguh kerana katanya aku mampu menjadi seorang doktor atau pakar biologi dan kimia.

Setelah tamat tingkatan lima dan aku mendapat keputusan cemerlang dalam MCE, aku terus menyambung pelajaranku dalam tingkatan enam. Hubunganku dengan Nora masih seperti dulu, tetapi nasib Nora tidak sama sepertiku kerana keputusan MCE yang diperolehinya agak mengecewakan dan terpaksa mengulang peperiksaan MCE.Hubungan antara aku dan Nora terputus apabila bapanya bertukar ke utara semenanjung Malaysia, seingatan aku di daerah Baling Kedah. Selepas menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan, aku ditawarkan pekerjaan sebagai guru di sebuah sekolah menengah di selatan semenanjung.Cita-citaku yang ingin menjadi seorang doktor akhirnya berkubur. Selang beberapa tahun aku mengajar di sana, aku ditukarkan pula ke negeri Hang Tuah, di sebuah daerah yang agak terpencil tetapi maju dari segi pembangunan. Setelah enam bulan aku mengajar di sekolah tersebut, pada suatu hari aku dikejutkan dengan sapaan seorang guru wanita berbaju kurung dengan panggilan manjaku semasa bersekolah di tingkatan lima. Guru wanita itu ialah Cikgu Nora, rakan sekelasku yang kini juga seorang guru. Satu pertemuan yang tidak kuduga selama ini. Berdetik kalbuku seperti ada tangan yang menjentiknya

Selepas waktu sekolah aku mengajak Cikgu Nora makan tengahari di sebuah restoran berdekatan dengan sekolah. Kami berbual panjang dan menceritakan pengalaman masing-masing. Ketika itu aku berstatus masih bujang tetapi Cikgu Nora sudah berstatus ibu tunggal. Dia berkahwin atas pilihan orang tua selepas sahaja menamatkan pengajian di sebuah makhtab perguruan di Negeri Perak. Selepas setahun suami beliau meninggal dunia kerana terlibat dengan kemalangan jalanraya. Perkongsian hidup mereka tidak dikurniakan zuriat. Aku bertanya kepadanya di manakah bapa sekarang. Dengan wajah yang agak sedih, dia menyatakan bapanya telah meninggal dunia kira-kira dua tahun yang lalu. Aku tunduk diam dan hanya mampu menghadiahkan Alfatihah.

Selang beberapa bulan Cikgu Nora mengajar bersamaku di sekolah yang sama, aku sering keluar bersama Cikgu Nora dan aku dapat merasakan rimbun kasih aku dan Cikgu Nora yang hilang satu ketika dahulu telah rendang kembali dan akhirnya kami disatukan di atas jinjang pelamin dan kini mempunyai keluarga bahagia. Jodoh, pertemuan dan takdir adalah dalam rahmat dan takdir ketentuan-Nya Kita hanya mampu meminjam catatan-Nya yang dipinjamkan sementara, kita hanya perlu bersyukur dengan ketentuan-Nya.

Baharudin Noryat
Putrajaya
191702 Dis 2013

Friday, October 16, 2015

PERINGATAN KEPADA YANG LUPA - KAMU

Kamu mengenal Allah
Kamu tidak menunaikan hak-hakNya
Kamu mengaku bahawa kamu cinta kepada Rasulullah
Kamu tinggalkan sunnahnya
Kamu persendakan agama bawaannya
Kamu membaca Al-Quran
Kamu tidak beramal dengannya
Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah
Kamu tidak bersyukur dengannya
Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh agamamu
Kamu tidak berusaha menentangnya
Kamu juga bersahabat dengannya
Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar
Kamu tidak beramal untuknya.
Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar
Kamu tidak cuba menjauhinya
Kamu telah berkata bahawa mati itu benar
Kamu tidak menyiapkan bekalan untuknya
Kamu bangun dari tidur berceritakan keaiban manusia
Kamu lupa keaiban kamu sendiri
Kamu mengubur mayat-mayat saudara-saudara kamu
Kamu tidak jadikan pelajaran untuk bertakwa
Satu ketika masa takdirnya tiba
Akan sampai giliran kita
Kitarannya tetap sama

Baharudin Noryat
Putrajaya

Sunday, September 16, 2012

BANGSAKU YANG BUDIMAN

Bangsaku yang budiman
masih belum terjagakah kita
masih belum sedarkan kita
bahawa suatu ketika bangsaku bersatu
menuju hala satu tujuan murni
memertabatkan bangsa dari belenggu penjajah
melepaskan diri dari belenggu kemiskinan
eratnya genggaman tangan bangsaku
gigihnya para pejuang bangsa
tanpa mengenal erti kelesuan dan kepayahan
melangkah mara dengan penuh semangat kekitaan
tidak memperdulikan untung dan rugi
tidak memperdulikan bait-bait sanjungan

Bangsaku yang budiman
negara kita telah melangkaui masa getir
membangun bersama bangsa yang gigih
menobatkan tanah pusaka ke landasannya
sinar kegemilangan menembusi ruang angkasanya
kerlipan bintang menambah lagi serinya
berterbangan haiwan menambah keindahannya
semua bersyukur dengan takdir pencipta-Nya
semangat kekitaan penuh dengan iltizamnya
menjadikan gagasan bangsa gemilang
menghala cemerlang dengan wawasan tercanang

Bangsaku yang budiman
keceriaan yang dikecapi sekian lama
mula bertukar kelam dan kusam warnanya
hilang sudah bintang dan bulan yang bersinar
terhalang sinarnya dari pandangan mata
mendung hitam mendominasikan ruang angkasa
bagaikan taupan akan melanda ganasnya
tiupan angin panas menerjah ke pelusuk benua
genggaman tangan bangsaku terurai lesu
bebasnya jari jemari melepaskan cakaran
memulas, mematah serta membaja persengketaan
semakin dibiar bertambah subur kebencian
tercari-cari di manakah hilangnya kekitaan
ke manakah perginya gerangan perpaduan
ke manakah hijrahnya jati kesetiaan

Bangsaku yang budiman
kenapakah ini harus terjadi
adakah memang takdirnya Illahi
di manakah silapnya perkara ini
semakin hari bangsaku tidak berbudi
bersengketa bercakaran sesama sendiri
pendukung bangsa seperti lupa diri
generasi baru seperti tidak peduli
survival bangsaku seperti tidak dimengerti
kata bicara mengundang rasa benci
bilakah akan berakhir kesemua ini
sedarlah bangsa yang kucintai
kelubung agama masih kekal memayungi

Bangsaku yang budiman
rugikah jika kita bersatu
rugikah jika kita bertolak ansur
mendengar luahan rasa sesama bangsa
mengeratkan ukhuwah membangunkan muafakat
supaya dapat menghidupkan kekitaan
menghidupkan persefahaman dan perpaduan
membelai semangat setia kepada agama
membaja jiwa cintakan tanah pusaka
bangunlah bangsaku
tiupkan semula semangat dijiwamu
bersatu minda sepakat kata senada irama
bersandarkan al-Quran dan al-Hadis
sebagai tunjang penyatuan ummah
membangunkan negara berkebajikan
demi keutuhan insan yang bernama Melayu

Ruang minda fikir
bukit kuda kelang

160300 Sep 2012




Tuesday, August 21, 2012

PERINGATAN KEPADA YANG LUPA - SAMBUTAN AIDILFITRI MENGIKUT SYARIAT ISLAM

Hari Raya Aidilfitri berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud berulang-ulang, kerana ianya akan disambut selepas berlabuhnya tirai Ramadan setiap tahun. Hari Raya Aidilfitri yang juga terkenal dengan "Hari Raya Puasa" yang disyariatkan oleh Allah SWT. Ianya disambut menandakan kesyukuran umat Islam di atas kejayaan mereka melaksanakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan dan menandakan kemenangan mereka dalam perjuangan melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Orang yang berpuasa akan merasakan dua kegembiraan (besar): kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika dia bertemu Allah.” (Hadis Bukhari & Muslim)

Umat Islam merayakan Hari Raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah SWT di antaranya sembahyang Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi. Kemuliaan Hari Aidilfitri diterangkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan Malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban dengan bertakbir, bertahmid dan bertakdis.

Allah berfirman di dalam Al Quran. Ertinya "Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur", Al-Baqarah,185.

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud.
Daripada Umamah r.a. Rasulullah bersabda "Barangsiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat"

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud "Barangsiapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir".

Kedatangan Aidilfitri memang dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia. Allah menganugerahkan Aidilfitri untuk menunaikan fitrah manusia yang keinginan kegembiraan apabila menyambut sesuatu kejayaan. Aidilfitri adalah tanda kejayaan orang Islam yang bermujahadah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan. Ia satu ganjaran di dunia, sedangkan akhirat masih menanti balasan pahala yang tidak ternilai.

Biarpun Aidilfitri dijadikan hari untuk bergembira, ia juga satu ibadat. Setiap apa yang ditetapkan oleh agama jika dilakukan dalam rangka mematuhi perintah Allah maka dikira ibadat. Untuk menjadikan satu ibadat hendaklah dilakukan dengan niat kerana Allah. Apa yang dilakukan hendaklah tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT.

Dalam melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, konsep yang ditekankan ialah sederhana, tidak membazir dan tidak membebankan. Ia juga mestilah terhindar daripada perasaan riak dan sombong. Persiapan Aidilfitri yang terlalu mementingkan kemeriahan tidak mencerminkan tuntutan sebenar Islam. Amalan itu lebih kepada memenuhi tuntutan nafsu yang dididik oleh syaitan agar melakukan sesuatu yang tidak baik. Belajarlah dan hayatilah rahsia Ramadan sebenarnya.

Aidilfitri bertujuan mendisiplinkan diri, mensyukuri rahmat, menghampirkan diri kepada Allah, muhasabah diri, serta melaksanakan perintah yang ditetapkan oleh Allah melalui kalam suci Allah, yakni al-Quran.

Aidilfitri bukannya satu pesta yang mementingkan kepada makan. Makanlah ala kadar di setiap rumah yang dikunjungi. Ini memberi peluang kita makan di setiap rumah yang dikunjungi tanpa rasa kekenyangan. Perkara yang perlu diutamakan ialah ziarah dan bermaaf-maafan. Inilah hari paling baik untuk mengeratkan kembali tali persaudaraan yang mungkin telah lama terputus.

Hiasilah diri kita dengan amalan yang syumul, seharusnya Ramadan telah menjadi Madrasah kepada kita dan telah mendidik kita kepada suatu kepada pengamalan yang menyeluruh dalam kehidupan kita demi mengejar kerahmatan, keampunan serta keredaan Allah yang hakiki. Sesungguhnya hanya Allah Yang Mengetahui Segala-gala-Nya. Walahhualam.

Ruang minda Baharudin

Wednesday, August 15, 2012

MUTIARA KATA - PERINGATAN KEPADA YANG LUPA

Pujangga berkata

Siapa yang berbuat tujuan tanpa tujuan yang berguna tidak akan berguna perbuatannya.

Siapa yang takut tanpa berhati-hati, maka tidak berguna takutnya itu seperti berkata ia "Saya takut siksa Allah", tetapi tidak berhati-hati dari dosa, maka tidak berguna takutnya itu.

Siapa yang mengharap ganjaran tanpa amal, seperti mengharap pahala dari Allah tetapi tidak mahu beramal, maka tidak berguna harapannya.

Siapa yang berniat untuk membuat kebaikan, tetapi tidak dilaksanakan, tidak berguna niatnya.

Siapa berdoa tanpa berusaha, seperti berdoa semoga untuknmendapat kebaikan, tetapi tidak berusaha untuk mencapainya maka tidak berguna doanya.

Siapa yang beristigfar tanpa menyesal, maka tidak berguna istigfarnya.

Siapa yang tidak ikhlas dalam amalannya, maka tidak berguna segala amalan perbuatannya.

Allah SWT berfirman "Maka barang siapa yang benar-benar mengharapkan bertemu dengan Allah, maka hendaklah berbuat amal yang baik dana jangan mempersekutukan Allah dalam semua ibadahnya dengan sesiapapun" - Al-Kahfi, 111.

Monday, August 13, 2012

PERINGATAN KEPADA YANG LUPA - MENCARI KEREDAAN BUKAN GANJARAN

Menyuluh buruan sepi di hutan
Tangkapan dijual peraih di pekan
Sepuluh pengakhiran nabi berpesan
Perbanyakkan amal peroleh ganjaran

Tangkapan dijual peraih di pekan
Jualannya cepat diserbu pelanggan
Perbanyakkan amal peroleh ganjaran
Hadirnya rahmat seribu bulan

Jualannya cepat diserbu pelanggan
Suka berebutan riuh bertawaran
Hadirnya rahmat seribu bulan
Pada insan penuh ketaatan

Suka berebutan riuh bertawaran
Berdiri mereka tawarannya bersahutan
Pada insan penuh ketaatan
Mencari reda bukannya ganjaran

Berdiri mereka tawarannya bersahutan
Membida dagangan serendah tawaran
Mencari reda bukannya ganjaran
Rahsia Ramadan indah didakapan

Minda fikir