Friday, July 4, 2008

MEMORI SOMALIA MASIH DIINGATAN

PW 2 Baharudin bin Noryat - Penyelia Tim EOD/IED Somalia
Okt 1993 - Okt 1994



LATAR BELAKANG PERANG SAUDARA DI SOMALIA

Rakyat Somalia keseluruhannya adalah beragama Islam dan mempunyai puluhan etnik dari suku kaum yang berbeza. Somalia adalah merupakan sebuah negara Tanduk Afrika (Horn of Africa). Ia bersempadankan Djibouti di barat laut, Kenya di barat daya, Teluk Aden dengan Yemen ke utara, Lautan Hindi ke timur, dan Ethiopia di barat. Berikut adalah kronologi yang mencetuskan perang saudara berpanjangan di Somalia

8 April 1978
Cubaan menggulingkan presiden Said Barre gagal menyebabkan presiden itu menguatkan lagi cengkaman ke atas pentadbiran negara dan mengagihkan kuasa di kalangan saudara-maranya.

Mei 1988
Pergerakan Kebangsaan Somali (SNM) menentang Said Barre di utara negara itu disebabkan undang-undang yang menindas. Di sinilah bermulanya penyuburan penentangan secara bersenjata di Somalia.

Mei 1990
Manifesto diterbitkan di Mogadishu untuk mengumpul semua puak dan suku kaum yang bertelagah bagi mengadakan kenvensyen perdamaian mengalak peperangan. Ia dipersetujui oleh 144 orang ketua puak dan pemimpin berpengaruh termasuk ahli politik, ketua-ketua agama, profesional dan ahli perniagaan.

Disember 1990
Pertempuran sengit meletus di Mogadishu.

27 Januari 1991
Siad Barre meninggalkan Mogadishu dan kumpulan Hawiye, Kongres Kesatuan Somali (USC) menawan bandar tersebut.

28 Januari 1991
USC melantik Ali Mahdi Muhammad sebagai presiden baru, bagaimanapun sayap tentera USC yang diketuai oleh Jeneral Muhamad Farah Aidid menentang perlantikan berkenaan.

Jun 1991
Pertempuran meletus di wilayah timur laut di antara Al-Ittihad Islamic dan kumpulan militia yang setia kepada Somali Salvation Democratic Front (SSDF) yang diketuai oleh Kolonel Abdullah Yusuf Ahmad.

Julai 1991
Konferens dirancang di Djibouti di mana Ali Mahdi dipilih sebagai presiden sementara.

April 1992
PBB melancarkan operasi di Somalia.

Disember 1992
Pasukan Unified Task Force (UNITAF) diketuai Amerika Syarikat mendarat di Mogadishu.

1993
Pasukan marin Amerika Syarikat terbunuh apabila dua helikopter ditembak jatuh oleh militia Somalia.

Oktober 1993
Tentera Amerika Syarikat yang sedang memburu pembantu senior Aidid diserang menyebabkan 18 orang askarnya terbunuh.

1994
"Operasi Mengembalikan Harapan" atau “Restore Hope” berakhir secara rasmi.

1995
PBB mengundurkan diri selepas gagal mencapai misi keamanan.

MEMORIKU BERMULA

Semasa Negara Somalia masih bergolak aku dan sahabat ku dalam kumpulan Tim Pemusnahan EOD/IED turut berada disana dinegeri yang mengalami kancah peperangan saudara yang berlarutan sehingga belasan tahun yang mengakibatkan ramai manusia yang tidak berdosa terkorban. Walaupun peristiwa ini telah berlalu hampir selama 17 tahun tetapi ianya masih segar dalam ingatan sanubari semasa kami bertugas di Somalia bersama Kontinjen Malaysia (MALBATT 1). Kumpulan kami terdiri daripada:

Kapt Nazanuddin bin Abd Latiff - Ketua Tim
PW2 Baharudin bin Noryat - Penyelia Tim (Penulis)
SSjn Mohd Noor Kadimun - Ahli
Sjn Ali Aziz - Ahli



Kapt Nazanuddin, SSjn Md Noor, Kapt Zainal dan saya


Tim kami telah diaturgerak untuk melaksanakan tugasan pemusnahan periuk api, jerangkap samar termasuk EOD dan IED bagi membantu Malaysian Battalion 1 (MALBATT 1) di bawah penugasan Panji-Panji Bangsa-Bangsa Bersatu. Tim kami bergerak ke kawasan operasi dengan menaiki pesawat kormersial iaitu dari Lapangan Terbang Subang ke Lapangan Terbang Changi pada 09 Nov 1993, sesampainya di Singapura pada hari yang sama kami berehat untuk transit selama lebih kurang 4 jam untuk menyambung penerbangan penerbangan dari Changi Ke Bombay. Setibanya dii Bombay kami transit lagi selama 4 jam dan dari Bombay kami terus ke Lapangan Terbang Nairobi Kenya dan sampai pada 10 Nob 1993 dan transit selama satu malam, bermalam di sebuah hotel di Nairobi. Di Nairobi kami bertemu dengan ramai anggota MALBATT 1 yang sedang bercuti di Nairobi, seronok rasanya bila jumpa orang melayu yang sama bahasa.

Selepas menikmati sarapan pagi pada 11 Nov 1993 kami berlepas dari Lapangan Terbang Nairobi ke Lapangan Terbang Mogadishu dengan menaiki pesawat Fokker. Selang beberapa jam kami sampai ke Mogadishu dan kami disambut oleh Ketua Terup Elemen Jurutera iaitu Kapt Zainal. Dari lapangan terbang Mogadishu kami terus di bawa ke penempatan Kem MALBATT 1 yang berdekatan dengan lapangan terbang dan seterusnya menikmati makanan tengahari. Pada sebelah petang kami dibawa bertemu dengan Pegawai Memerintah 19 Batalion Mekanize Lt Kol Md Rodzi dan seterusnya Komander MALBATT 1 Kol Abdul Latiff. Keduanya mengucapkan selamat datang kepada tim kami dan menerangkan situasi yang sedang berlaku di Somalia dan memberikan arahan tugasan yang kami akan laksanakan sepanjang berada di bawah MALBATT 1 yang dijangkakan selama 6 bulan.

Pada sebelah petang kami telah dibawa oleh Kapt Zainal untuk meninjau keadaan persekitaran kem dan Bandar Mogadishu. Sungguh menyedihkan kami mayat orang awam bergelimpangan disana sini seperti tidak diuruskan dengan sempurna, inilah yang dinamakan peperangan tidak mengira siapa dan bagaimanana , tidak mengira bangsa, etnik semuanya diluar batas kewarasan fitrah manusia, nyawa tiada harga langsung disini. Kekejaman, penindasan dan peperangan tidak mengenal erti belas kasihan, maut sentiasa mengintai pada semua lapisan warga Somalia dan tidak terkecuali kepada pengaman yang berada di bumi gersang ini, hanya kepada tuhan kami berdoa agar keselamatan diri terjaga dan mendapat kerahmatan daripada Allah SWT.

Selepas sesi tinjauan kami pulang kepenempatan untuk melihat dimana penempatan tim kami, sementara menunggu peralatan kami yang sedang dalam pelayaran menaiki kapal TLDM KD Mahawangsa yang dijangka akan tiba di pelabuhan Mogadishu dalam masa 2 minggu. Tim kami diletakkan bersama dengan penempatan Elemen Jurutera. Seterusnya tim kami berkenalan dengan anggota elemen jurutera daripada 6 Skn Jurutera yang diketuai oleh Kapt Zainal.

Sepanjang berada di bawah MALBATT 1 dan setiuasi panas selepas kejadian Pasar Bakara, suasana tegang antara tentera pengaman dan rakyat Somalia agak meruncing. Banyak kejadian anggota yang diserang hendap, tembak curi dan kejadian terkena periuk api dan anti persenol dilaporkan termasuk jerangkap samar dan IED. Ini menyebabkan tim kami bertungkus lumus melaksanakan operasi apabila kejadian dilaporkan. Alhamdulliah semuanya dapat diatasi dengan pengetahuan, pengalaman dan latihan dilaksanakan sebelum berada disini.

Setelah 6 bulan berada disana maka perkhidmatan MALBATT 1 akan tamat tempoh mandatnya di Somalia dan akan digantikan dengan MALBATT 2 yang sertai oleh pasukan dari Batalion ke 7 Rejimen Renjer DiRaja dengan Pegawai Memerintahnya Lt Kol Mohd Mokhtar dan Komander MALBATT 2 pula ialah Kol Radzi. Pada sangkaan kami penugasan tim kami akan diganti dengan tim yang lain daripada IKEM malangnya kami telah diberitahu oleh Komander MALBATT 1 bahawa tugasan kami akan disambung lagi selama 6 bulan, alangkah sedihnya kami pada ketika itu tetapi disebabkan arahan dari atasan kami terpaksa akur. Kesedihan menyerlah apabila lambaian tangan sahabat yang pulang ketanah air sayup di bawa oleh kaplterbang yang membawa mereka daripada lapangan terbang Mogadishu. Walau bagaimanapun kesedihan ini hanya sementara dan terubat kerana pasukan pedahuluan daripada MABATT 2 telah sampai seminggu sebelum kepulangan 19 RAMD Mekanize ke tanah air dengan diketuai oleh Komander MALBATT 2 dan Pegawai Memerintah 7 Renjer.

Selang beberapa hari kumpulan besar daripad MALBATT 2 sampai, maka meriahlah semula penempatan kem kontinjen Malaysia. Kami diperkenalkan oleh Pegawai Pemerintah kepada semua yang hadir. Pada masa ini kami sempat berkenalan dengan Mej Jamil Khir Baharum yang merupakan pegawai agama MALBATT 2 (kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Tidak berapa lama kemudian penempatan Kontinjen Malaysia di lapangan terbang Mogadishu di pindahkan pula ke Universiti Complex yang berada dikawasan Bandar Mogadishu, lega rasanya daripada duduk dalam kemah yang panas kini berpindah ke bangunan universiti Somalia yang tersohor pada suatu ketika.

Dalam naungan MALBATT 2 tugasan tim kami bertambah dengan kejadian-kejadian serangan ke atas penempatan kontraktor daripada Negara USA iaitu Brown and Route yang menggendalikan semua kontraktor pembekalan, pembinaan dan sebagainya di Somalia. Serangan mortar dan RPG bertalu-talu dan saban hari dilaporkan. Markas UNOSOM yang diketuai oleh UNOSOM Comamander iaitu Lt Jen Dato Abu samah memohon bantuan tim EOD/IED dari Malaysia untuk tugasan tersebut walaupun tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada tim pemusnahan dari Pakistan. Allahamdulillah semua dapat dibereskan dengan jayanya.

Walaupun dalam keadaan yang agak tegang kami juga masih sempat beribadat pada bulan ramadhan dan menyambut hari raya adilfitri bersama kawan-kawan. Selain itu juga mengadakan aktiviti bersukan yang dilaksanakan di kawasan yang terkawal, melaksanakan aktiviti jamuan dan sebagainya seperti rutin harian sepertimana dilaksanakan di Malaysia.

Mandat MALBATT 2 di bumi Somalia berakhir pada bulan Okt 1994 dan akan digantikan dengan MALBATT 3 yang diketuai oleh Kol Roseli, tim kami diganti oleh Kapt Thevendran, PW 2 Panan dan 2 orang PTT Kanan dari IKEM.

KESIMPULAN

Somalia masih jauh daripada keamanan sebenar. Rakyatnya yang sentiasa berhadapan dengan pertempuran sesama pemimpin sudah jelak dengan kesusahan hidup dan mengharapkan adanya penyelesaian yang berkekalan. Fajar keamanan dan kedamaian hanya akan muncul apabila semua puak bertelagah kembali ke meja rundingan dan mencari kata sepakat untuk membangunkan negara sendiri. Mereka harus meninggalkan fahaman kepuakan (Assyobiah) yang begitu menebal jika ingin Negara mereka maju. Kembalilah kepada apa yang ditinggalkan oleh Rasullulah iaitu Al-Quraan dan Hadis. Selamat tinggal Somalia semoga kemakmuran dapat mereka kecapi pada masa akan datang.

Untuk keterangan lebih lanjut berkenaan dengan Negara Somalia layari alamat di bawah:


http://ms.wikipedia.org/wiki/Somalia

http://zahirzainudin.blogspot.com/2008/06/somalia-sejarah-negara-yang-kacau-bilau.html


http://www.google.com.my/images?hl=ms&q=perang+somalia&um=1&ie=UTF-8&source=univ&ei=q4KkTKX1J4GevQOI1omYDQ&sa=X&oi=image_result_group&ct=title&resnum=5&ved=0CCUQsAQwBA



Ketibaan di Somalia disambut oleh Ketua Terup Elemen Jurutera Kapt Zainal



PW 2 Baharudin berada dihadapan pejabat Tim IED/EOD yang baru dibina selepas sampai di Somalia



Memunggah peralatan tim daripada kapal KD TLDM Mahawangsa yang hanya tiba selepas 2 minggu berada di Somalia



Mengadakan latihan semula kepada anggota tim untuk tugasan sebenar berdasarkan kepada situasi yang ada di Somalia




Melaksanakan operasi pembersihan di sekitar kawan Mogadishu