PERINGATAN KEPADA YANG LUPA - SAMBUTAN AIDILFITRI MENGIKUT SYARIAT ISLAM
Hari Raya Aidilfitri berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud berulang-ulang, kerana ianya akan disambut selepas berlabuhnya tirai Ramadan setiap tahun. Hari Raya Aidilfitri yang juga terkenal dengan "Hari Raya Puasa" yang disyariatkan oleh Allah SWT. Ianya disambut menandakan kesyukuran umat Islam di atas kejayaan mereka melaksanakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan dan menandakan kemenangan mereka dalam perjuangan melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Orang yang berpuasa akan merasakan dua kegembiraan (besar): kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika dia bertemu Allah.” (Hadis Bukhari & Muslim)
Umat Islam merayakan Hari Raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah SWT di antaranya sembahyang Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi. Kemuliaan Hari Aidilfitri diterangkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan Malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban dengan bertakbir, bertahmid dan bertakdis.
Allah berfirman di dalam Al Quran. Ertinya "Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur", Al-Baqarah,185.
Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud.
Daripada Umamah r.a. Rasulullah bersabda "Barangsiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat"
Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud "Barangsiapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir".
Kedatangan Aidilfitri memang dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia. Allah menganugerahkan Aidilfitri untuk menunaikan fitrah manusia yang keinginan kegembiraan apabila menyambut sesuatu kejayaan. Aidilfitri adalah tanda kejayaan orang Islam yang bermujahadah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan. Ia satu ganjaran di dunia, sedangkan akhirat masih menanti balasan pahala yang tidak ternilai.
Biarpun Aidilfitri dijadikan hari untuk bergembira, ia juga satu ibadat. Setiap apa yang ditetapkan oleh agama jika dilakukan dalam rangka mematuhi perintah Allah maka dikira ibadat. Untuk menjadikan satu ibadat hendaklah dilakukan dengan niat kerana Allah. Apa yang dilakukan hendaklah tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT.
Dalam melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, konsep yang ditekankan ialah sederhana, tidak membazir dan tidak membebankan. Ia juga mestilah terhindar daripada perasaan riak dan sombong. Persiapan Aidilfitri yang terlalu mementingkan kemeriahan tidak mencerminkan tuntutan sebenar Islam. Amalan itu lebih kepada memenuhi tuntutan nafsu yang dididik oleh syaitan agar melakukan sesuatu yang tidak baik. Belajarlah dan hayatilah rahsia Ramadan sebenarnya.
Aidilfitri bertujuan mendisiplinkan diri, mensyukuri rahmat, menghampirkan diri kepada Allah, muhasabah diri, serta melaksanakan perintah yang ditetapkan oleh Allah melalui kalam suci Allah, yakni al-Quran.
Aidilfitri bukannya satu pesta yang mementingkan kepada makan. Makanlah ala kadar di setiap rumah yang dikunjungi. Ini memberi peluang kita makan di setiap rumah yang dikunjungi tanpa rasa kekenyangan. Perkara yang perlu diutamakan ialah ziarah dan bermaaf-maafan. Inilah hari paling baik untuk mengeratkan kembali tali persaudaraan yang mungkin telah lama terputus.
Hiasilah diri kita dengan amalan yang syumul, seharusnya Ramadan telah menjadi Madrasah kepada kita dan telah mendidik kita kepada suatu kepada pengamalan yang menyeluruh dalam kehidupan kita demi mengejar kerahmatan, keampunan serta keredaan Allah yang hakiki. Sesungguhnya hanya Allah Yang Mengetahui Segala-gala-Nya. Walahhualam.
Ruang minda Baharudin
2 comments:
Hello Mej, Baharudin,
Here's wishing you and family the very best of hari raya.
SELAMAT HARI RAYA.
Best regards.
Lee.
Thanks Mr Lee for hari raya wishing, you keep well best regard from Baharudin
Post a Comment