Sunday, October 3, 2010

PENGALAMAN KU SEMASA BANJIR BESAR MELANDA NEGERI PAHANG


Mej Baharudin bin Noryat

MELETUPKAN BETING PASIR DI TG AGAS PEKAN PAHANG DIS 2007



Aku dan kawan-kawanku yang dianggap sebagai pakar pemusnahan di dalam Rejimen Askar Jurutera DiRaja telah diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pemusnahan dan memberikan bantuan khidmat nasihat kepakaran dalam kerja-kerja meletupkan muara Sungai Pahang dalam usaha untuk membolehkan pengaliran air banjir keluar lebih lancar ke Laut China Selatan.

Arahan telah diperolehi dari MK TD – Jab Jutra kepada unit tempat aku berkhidmat IKEM dan perkara telah di rujuk kepada KS MK Latihan TD untuk pelepasan bagi melaksanakan tugas tersebut. Walaupun perkara tersebut pada dasarnya adalah sukar untuk kerja meletupkan pasir disebabkan pasir adalah merupakan bahan yang berongga tetapi tindakan ini adalah sebagai langkah alternatif untuk mengatasi banjir yang semakin serius di Daerah Pekan. Tindakan seumpama ini pernah dilaksanakan pada tahun 1971 semasa keadaan banjir yang sama dan ia berjaya mengatasi masalah yang meruncing tersebut. Aku dan tim mempersiapkan segala kelengkapan yang memang telah dalam keadaan siap siaga untuk kemungkinan penugasan banjir yang saban tahun berlaku. Senarai anggota yang terlibat bersama aku adalah.

Mej Baharudin bin Noryat - Ketua Tim (Penulis)
Kapt Shamsul Nasriq bin Supaat - Penolong
PW 1 Norazman bin Yahya - Penyelia
PW 2 Hasan bin Jusoh - Pembantu


Kelihatan dari kanan Kapt Shamsul, PW 2 Hassan Botak dan PTT Kanan dari 11 Skn RAJD

HARI PERTAMA – 14 DIS 2007 (JUMAAT)



Kami memulakan perjalanan dengan menaiki kenderaan 1 x kereta utiliti dan 1 x kenderaan 3 ton lengkap dengan peralatan pemusnahan dan perahu tempur dan lain-lain. Kami bertolak pada 14 1700H Dis 2007 mengambil masa selama 5 jam untuk sampai ke Pekan Pahang melalui KLUANG – MERSING – ROMPIN – PEKAN. Perjalanan kami bergerak dengan lancar kecuali disatu kawasan jalan yang agak hampir dengan Pekan telah dilimpahi air separas 2 kaki, alhamdullilah kami terlepas daripada halangan itu dan terus ke Markas Tek Banjir di Dewan Orang Ramai Pekan Pahang.

Apabila kami mula masuk ke Pekan banjir telah mula melimpahi keseluruhan Pekan dengan keadaan air Sungai Pahang yang mengalir deras dan melimpahkan air sedikit demi sedikit memenuhi kawasan Pekan. Walaupun begitu tempat penempatan kami di Dewan Orang Ramai Pekan agak tinggi, Kami terus berjumpa dengan Pegarah Operasi Banjir iaitu Pegawai Daerah Pekan sendiri untuk mendapatkan maklumat lanjut. Setelah mendapat maklumat yang lengkap kami terus ke kawasan lokasi pemusnahan yang akan dibuat iaitu di Tajung Agas melalui perkampungan orang Asli yang telah ditenggelami air separas satu meter yang berada dikawasan rendah berhampiran Sungai Pahang. Bagaimanapun jalan untuk ke Tanjung Agas masih belum ditenggelami air, kami meyusur melalui jalan tersebut dan sampai ke Tajung Agas. Disana kami diberikan taklimat oleh Mej Ramli Jumaat, Pegawai Pemerintah 11 Skn Jurutera yang berpangkalan di di Kem Batu 3 Temerloh, Pahang. Beliau sudah bersiap sedia dengan anggotanya untuk membantu kami dalam tugas tersebut. Saya dan tim terus menaiki bot dari pangkalan ke beting pasir yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari jeti Tanjung Agas.


Pangkalan jeti Tanjung Agas


Kol Nasser dan Mej Baharudin dan dibelakang PW 1 Norazman


Kapt Shamsul dan Mej Ramli


Apabila sahaja aku menjejakkan kaki di beting pasir tersebut aku terpegun melihat timbunan pasir yang agak luas dianggarkan 500 x 500 meter keliling dan ketinggian 3 –5 meter dari paras air sungai. Ini lah kawasan muara yang menyekat pengaliran air dari Sungai Pahang ke Laut China Selatan.yang sepatutnya mempunyai keluasan 400– 500 meter lebar dan kini hanya tinggal lebih kurang 80 meter sahaja.


Keadaan beting pasir yang telah hampir menutupi permukaan sungai dan menjadi pulau pasir di bahagian muara sungai Pahang



Laluan air yang mengalir ke laut menjadi bertambah sempit hanya tinggal lebih kurang 80 meter


Aku mula merencanakan konsep pemusnahan yang akan dibuat berdasarkan pengalaman ku sebagai seorang yang dianggap pakar dalam hal tersebut bersama kawanx aku. Aku merancang untuk membuat letupan percubaan berkonsepkan letupan secara Single Continuous Mined Charge untuk cuba mendalamkan tebing sungai dan aku juga ingin cuba merealisasikan teknik letup dan tolak untuk tujuan membuat parit pertahanan yang berpasir yang pernah aku laksanakan semasa aku betugas di Somalia sekitar tahun 93 dan 94. Dengan persetujuan Komander Jurutera Medan Kol Ahmad Nasir bin Abd Rahman aku memulakan letupan percubaan sebanyak 2 kali letupan ujian ke atas tebing pasir dan alhamdullilah kami berjaya dengan teknik tersebut yang dapat meletup dan menolak pasir yang menjadi longkang yang luas.

HARI KEDUA – 15 DIS 2007 (SABTU)


Aku dan tim memulakan letupan pertama pada jam 1100H pada kedalaman 2 meter dengan bahan letupan 42 kotak PE No 4 sebanyak 840 lbs (386.4 kg) untuk 14 cas. Membuat letupan kedua pada jam 1500H pada kedalaman 2 meter dengan bahan letupan 30 kotak PE No. 4 sebanyak 600 lbs (276 kg) untuk 10 cas. Hasil daripada kedua-dua siri letupan tersebut beting pasir yang diletupkan adalah 40 meter lebar dan 4 meter dalam.


Letupan pertama dilaksanakan



Kesan daripada letupan pertama menghasilkan lubang sedalam 4 meter dan lebar 40 meter

HARI KETIGA – 16 DIS 2007 (AHAD)


Membuat letupan ketiga pada hari kedua pada jam 1100H pada kedalaman 2 meter dengan bahan letupan 61 kotak PE No 4 sebanyak 1220 lbs (561.2 kg) untuk 15 cas. Hasil daripada letupan tersebut beteng pasir yang diletupkan menjadi 80 meter lebar dan 4 meter dalam.


Letupan Kedua dilaksanakan



Tengku Mahkota Pahang Tuanku Abdullah berkenan menekan butang alat peletup untuk meletupkan letupan kedua sambil diperhatikan oleh Panglima Medan TD dan Ketua Jurutera



Kesan letupan kedua menjadi sungai bertambah lebar menjadi 120 meter dan kedalaman 4 meter

KESAN KESELURUHAN


Kesan yang diperolehi daripada 3 siri letupan yang dibuat, hasilnya dapat melebarkan muara sungai daripada 80 meter ke 250 meter secara tidak langsung dapat mempercepatkan aliran air sungai yang mengalir daripada Sungai Pahang. Walaubagaimanapun kejayaan ini dipengaruhi oleh faktor bantuan air pasang surut juga.

KESIMPULAN


Pada pendapat aku Bahan letupan adalah jalan penyelesaian jangkamasa singkat. Di masa akan datang langkah untuk mengatasi masalah ini adalah wajar menggunakan mesin/jentera seperti kapal korek untuk melebarkan dan mendalamkan muara sungai tersebut dalam masa yang sama dapat mengelakkan pembaziran penggunaan bahan letupan. Pada keseluruhannya operasi ini berjaya mencapai objektif yang dikehendaki.Ini adalah merupakan pengalaman yang amat berguna untuk dikongsi bersama oleh semua warga RAJD. Kami amat bertuah sepanjang kerja-kerja pemusnahan ini aku dan tim mendapat sokongan sepenuhnya daripada Ketua Jurutera Brig Jen Dato' Pahlawan Ir Abdul Nasser bin Ahmad dan Komander Jurutera Medan Kol Ahmad Nasir bin Abd Rahman yang sentiasa berada dengan kami untuk memantau kerja-kerja yang aku laksanakan.


Komander Jurutera Medan Kol Ahmad Nasir dan Ketua Jurutera Brig Jen Dato' Ir Abdul Nasser Ahmad sedang membincangkan sesuatu tentang operasi pemusnahan ini


Ketua Jurutera menyatakan sesuatu kepada Kol ahmad Nasir sambil diperhatikan oleh Saya dan Mej Ramli



Klip video letupan di muara Sg Pahang


http://www.youtube.com/watch?v=52Ez5MT2nBI


Klip video keadaan banjir yang melanda Pekan Pahang

3 comments:

Loon said...

this is a very good post, sir! keep up the good work. MAJUTERA

Mej Baharudin Noryat (Bersara) said...

thank you Tan Meng Loon sir, buat apa sekarang dan jadi tauke ke...
selamat maju jaya Tan

farizulanuarmurad said...

mcam mna nk masuk ke rajd ah cik..???